Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke 52 pada hari ini 16 September 2015, saya nak ucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA kepada semua pengunjung dan pembaca blog ini. Namun ucapan SELAMAT saya pada hari ini dicacatkan dengan keadaan jerebu yang teramat kritikal di negara ini, khususnya di tempat tinggal saya – Putrajaya. Selamat kah kita dengan keaadan alam sekitar kita tercemar dengan keaadan berjerebu ini?
Untuk pengetahuan, saya jarang sekali menulis tentang perihal alam sekitar dan kesihatan sejagat tapi kali ini, saya terpanggil untuk menulis kerana keadaan alam sekitar kita yang berjerebu ini memberi kesan langsung kepada diri saya dan keluarga saya.
Umumnya kita sudah mengetahui yang jerebu sememangnya sudah bermaharaja lela sekian lama. Dari pandangan mata kasar juga, kita sudah boleh mengagak tentang kadar bahaya yang bakal menimpa. Tiga minggu lalu, saya sendiri telah terlantar sakit dan dimaklumkan oleh doktor bahawa ianya berkaitan dengan infeksi akibat jerebu yang kuat. Ramai para pesakit yang mengadu masalah yang sama pada ketika itu. Namun, di peringkat pihak berwajib, tidak ada usaha yang bersungguh dilakukan pada ketika itu berbanding pada minggu kebelakangan ini. Alasannya, bacaan indeks belum lagi di tahap yang bahaya.
Kini, pihak berwajib sudah pun mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menangani masalah alam sekitar khusunya krisis jerebu melampau. Namun, apa yang membimbangkan saya, mengapa setelah sekian lama baru ada langkah-langkah seperti ini diambil? Saya mempunyai beberapa kenalan di negara jiran yang mengatakan kualiti alam sekitar mereka juga terjejas dan berada di tahap yang kritikal pada ketika saya terlantar sakit dulu. Maka saya terpanggil untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berwajib di dalam internet tentang perkara ini.
Saya telah melayari internet dan mendapatkan maklumat daripada laman berikut:
http://apims.doe.gov.my/apims/hourly4.php
(sumber: Jabatan Alam Sekitar, Malaysia)
http://www.haze.gov.sg/haze-updates/historical-psi-readings
(sumber: Agensi Alam Sekitar, Singapura)
Singapura dan Malaysia adalah dua negara yang berjiran dan bagi kawasan di Selatan, keadaannya boleh dikatakan sama kerana berkongsi lokasi alam sekitar yang sama. Contoh yang diambil adalah stesen Larkin Lama dan Pasir Gudang di Johor; dan stesen North Singapore di Utara Singapura.
Saya terlebih rajin sedikit dan memaparkan carta di atas yang menunjukkan perbezaan yang KETARA antara bacaan di Singapura dan Malaysia. Adakah alam sekitar kita berbeza dengan Singapura? Lokasi stesen-stesen tersebut kalau dilihat dalam peta, adalah begitu dekat sekali. Berdasarkan bacaan Singapura, sudah lama saya akan menganggap keadaan alam sekitar kita sudah berada dalam keadaan kritikal dan perlu diambil langkah-langkah yang sepatutnya oleh pihak berwajib.
Soalan saya kepada Jabatan Alam Sekitar Malaysia atau mana-mana pihak berwajib di Malaysia: BAGAIMANA KAMU MENANGANI MASALAH ALAM SEKITAR MALAYSIA? Adakah teknologi yang anda gunakan teknologi yang terkini atau teknologi tamadun yang silam? Siapakah service provider yang bertanggungjawab? Kalau beginilah caranya kita menangani alam sekitar kita, dengan menggunakan service provider cap ayam yang menggunakan teknologi tamadun silam, sudah pasti pihak berwajib akan mendapat maklumat yang tidak tepat untuk membuat keputusan. Akhirnya, keputusan dibuat lambat, salah dan paling malang, rakyat yang menanggung segala siksa dan azab.
Saya harap penulisan saya ini dapat dibaca oleh pihak berwajib dan kalau rajin, silalah jawab. Saya bukan menabur fitnah, saya bertanya sebagai orang awam dan rakyat Malaysia. Kalau perlu ditukar service provider, tukar sahaja. Dapatkan teknologi yang terkini. Kalau Singapura boleh, takkan lah Malaysia tak boleh kot. Saya pasti Jabatan Alam Sekitar atau mana-mana jabatan kerajaan yang menjaga projek seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) mempunyai kriteria dan prosedur yang terbaik untuk memastikan provider yang betul-betul boleh memberi khidmat kepada negara. Janganlah kerana nak berjimat sangat, guna provider dan teknologi cap ayam. Bila orang kata Malaysia lower-class berbanding dengan Singapura, kita marah. Tapi kalau kita sendiri yang nak jadi lower-class, saya tak tahu nak cakap apa lah.
Apa-apa pun, SELAMAT HARI MALAYSIA (semoga SELAMAT selalu)